Tiga lelaki ditangkap cuba seludup 12 PATI di Serian

PDRM logo

SERIAN,29 Jun: Tiga lelaki warga tempatan ditangkap disyaki bersubahat menyeludup masuk 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata ketiga-tiga suspek berusia 33, 34 dan 37 tahun ditangkap Pasukan Gerakan Am (PGA) masing-masing memandu sebuah kereta dengan membawa penumpang warga Indonesia.

Jelasnya, 12 PATI yang disyaki cuba diseludup masuk adalah terdiri daripada empat lelaki dewasa, empat lagi wanita dan empat kanak-kanak.


“Tangkapan pertama adalah sekitar jam 5 petang berhampiran Kampung Tebekang Dayak, di mana sepasukan PGA Batalion 11 telah menahan dua buah kereta jenis Proton Waja dan Perodua Kelisa yang dipandu suspek warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan kedua-dua kenderaan mendapati terdapat 11 orang warga Indonesia yang mana kesemua mereka tiada memiliki dokumen pergenakan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, tangkapan kedua pula  dilaporkan di kawasan Ladang Sawit Tetangga Akrab Serian iaitu sekitar jam 7.40 pagi.

“PGA Batu Kawa semasa menjalankan rondaan telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang dipandu seorang lelaki warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang lelaki warga Indonesia yang menumpang di dalam kenderaan berkenaan, dan siasatan mendapati dia tiada memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Aswandy memberitahu ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah ATIPSOM 2007 dan akan ditahan reman dibawah Undang-undang SOSMA bagi membantu siasatan.

Siasatan ke atas PATI pula dijalankan dibawah Akta Imigresen.

Siasatan awal juga mendapati kesemua PATI telah memasuki negeri ini melalui jalan yang tidak diwartakan untuk berkerja dalam pelbagai sektor ekonomi di negeri ini.— DayakDaily