Tiga lelaki diberkas salahguna dadah

Gambar komposit menunjukkan suspek dan dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

BAU, Jan 23: Tiga lelaki diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di sebuah perhentian bas berhampiran SK Bau di sini malam tadi.

Ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis kira-kira pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Bau, Dsp Poge Nyaon berkata, sebelum ditahan, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan rutin telah mengesan pergerakan ketiga-tiga suspek dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, anggota polis kemudian melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Dadah tersebut ditemui di atas lantai perhentian bas berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Poge menambah, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek tiada pekerjaan dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, semua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily