Tiga kedai musnah dalam kebakaran di Pekan Long Lama

Pemandangan dari udara yang menunjukkan keadaan kedai yang terbakar di Pekan Long Lama.

LONG LAMA, 22 Mei: Sudahlah dilanda banjir, berlaku lagi kebakaran menyebabkan tiga buah kedai di Pekan Long Lama musnah dalam insiden malang tersebut sekitar lewat malam tadi.

Ketua Bomba Zon Miri Law Poh Kiong berkata pekan tersebut yang terputus hubungan sejak tengah hari lagi akibat banjir menyebabkan pasukan bomba dari Lopeng dan Marudi terpaksa berpatah balik kerana tidak dapat melalui kawasan yang dinaiki air.

“Anggota kita bergerak ke lokasi kejadian, tetapi sampai di pertengahan jalan, didapati jalan menuju ke Pekan Long Lama putus dan tidak dapat dilalui akibat banjir.


“Kebakaran tersebut berjaya dikawal dan dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dengan dibantu oleh penduduk di pekan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya sekitar jam 5.54 pagi tadi, Pusat Gerakan Operasi menerima laporan mengatakan api naik semula, namun dapat dikawal oleh PBS.

Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kebakaran tersebut.

Law memberitahu pihaknya hanya mengetahui mengenai kebakaran tersebut daripada seorang wanita melalui Facebook yang berjaya dihubungi oleh suaminya di Pekan Long Lama mengunakan telefon setelit sekitar jam 11 malam.

Jelas Law, usaha untuk pergi ke lokasi kejadian diteruskan hari ini, meskipun berhadapan pelbagai resiko yang merbahaya.

“Siang ini pasukan bomba Marudi akan melalui sungai dan bomba Lopeng menggunakan jalan darat.

“Harap salah satu pasukan berjaya sampai ke lokasi memandangkan keadaan sungai ketika ini arusnya sangat deras dan banyak batang kayu hanyut dari ulu dan jalan darat pula dinaiki air setinggi 4 kaki dalam,” katanya. ā€” DayakDaily