Oleh Dean Adam
BINTULU, Ogos 6: Tiga individu nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Batu 18, Jalan Bintulu-Miri, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, pemandu Proton Saga dilaporkan tersepit, manakala dua yang lain cedera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.44 pagi.
Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori dengan kereta Proton Saga.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki yang memandu kereta itu dalam keadaan tersepit sebelum anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Jurucakap sama menambah, dua mangsa lagi telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kemalangan terkawal,” katanya. — DayakDaily