Tiga ditahan polis berkaitan kes kecurian kabel TM di Kuching

Suspek dan barang-barang yang dirampas.

KUCHING, 10 Okt: Tiga lelaki termasuk penjaga premis kedai barang lusuh ditahan kerana disyaki bersekongkol dengan kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di sekitar bandaraya Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata terdahulunya dua lelaki berusia 22 dan 38 tahun ditangkap sedang leka mencuri kabel TM di Jalan Reservoir pada 3 Oktober lalu sekitar jam 4.30 pagi.

Katanya, hasil tangkapan dan siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku sekurang-kurangnya telah terlibat empat lagi kes curi kabel TM.


“Hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku terlibat empat lagi kes curi kabel di sekitar Kuching sejak bulan Jun dan mereka mengaku telah menjual kabel tersebut di sebuah kedai barang lusuh di Batu 16 Jalan Kuching-Serian.

“Pasukan polis telah membuat pemeriksaan di premis tersebut dan penjaga premis telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut dirampas daripada suspek ialah motosikal dan peralatan yang digunakan seperti pemotong kabel, gergaji besi dan banyak lagi.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati dua suspek yang ditangkap di Jalan Reservoir positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sebarang maklumat berkaitan kes kecurian kabel di Kuching, boleh dilaporkan terus ke mana-mana balai polis berhampiran,” kata Ahsmon. — DayakDaily