Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami musnah terbakar

Pasukan bomba melakukan kerja-kerja pemantauan di lokasi kebakaran.

BATU NIAH, Ogos 17: Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Berlipat di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu mengakibatkan sebuah rumah yang berstruktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.52 petang.


Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Niah turut diarahkan ke lokasi bagi memadam kebakaran itu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati PBS Niah bersama penduduk kampung sedang berusaha memadam kebakaran itu,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, api dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 2.59 petang.

Katanya, siasatan mendapati api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan-bahan mudah terbakar.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

“Buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” ujarnya. — DayakDaily