SIBURAN, Jun 20: Tiga beranak berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Wish yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik di Batu 22, Pekan Tapah di sini hari ini.
Kejadian kira-kira 4.30 petang itu telah mengakibatkan seorang ibu dan dua anaknya cedera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.33 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati sebuah Toyota Wish dalam keadaan terbalik di bahu jalan berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun sudah dikeluarkan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambah jurucakap sama, pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) bomba kemudian memberi rawatan awal kepada tiga beranak tersebut.
Katanya, selepas menerima rawatan itu, mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya sejurus mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya. — DayakDaily