Tiga beradik rentung dalam kebakaran rumah di Lawas

Keadaan rumah yang didiami keluarga terbabit, musnah terbakar

LAWAS, 26 Feb: Tiga beradik rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Seberang Kedai Lawas, di sini malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.02 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman yang telah musnah seratus peratus.


“Kejadian melibatkan sebuah keluarga yang terdiri sembilan orang, di mana tiga kanak-kanak lelaki yang masing-masing berusia 4,7 dan 8 tahun didapati rentung, manakala enam lagi selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa iaitu Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, 4 tahun, Mohd Hezmi Huzaili Azrie, 7 tahun dan Mohd Hezry Huzaimo Azrie,8 tahun telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, pasukan bomba berjaya mengawal api dan memadam sepenuhnya kebakaran pada jam 12.45 tengah malam.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily