‘Tidak wujud dua kem dalam PKR Sarawak’, kata See

See bercakap kepada pemberita di Kuching. Turut kelihatan MP Puncak Borneo Willie Mongin.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Nov: Naib pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How menyangkal tuduhan yang partinya menghadapi masalah dalaman.

Beliau yang juga ADUN Batu Lintang turut menegaskan yang PKR Sarawak hanya ada satu kem sahaja dan tidak wujud dua kem.


“Kita tidak menghadapi sebarang masalah, langsung tiada dan semuanya hanya spekulasi,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan 1,000 Alat Pemadam Api di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya di sini, hari ini.

Menjawab soalan mengapa beliau tidak menghadiri Konvensyen PKR yang berlangsung di Miri hari ini, See berkata mereka telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan konvensyen tersebut.

Pimpinan PKR Sarawak, katanya, telah membuat keputusan untuk membatalkan konvensyen tersebut.

“Tetapi ada beberapa cabang tetap ingin meneruskan konvensyen dan itu tidak menjadi masalah kepada kita. Kita juga tidak menghalang mereka berbuat demikian,” ujar See.

Tambah beliau, keputusan membatalkan konvensyen dibuat setelah beberapa perwakilan dikatakan ingin membangkitkan isu terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Baru Bian.

Ujar beliau, jika konvensyen digunakan untuk tujuan tersebut maka ia adalah tidak baik.

Namun, katanya, tiada apa-apa yang dikemukakan pada konvensyen pagi tadi.

Konvensyen PKR Sarawak pagi tadi dirasmikan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri setiausaha agung Saifuddin Nasution.

Turut hadir pengerusi PKR Miri Dr Micheal Teo, MP Julau Larry Sng dan MP Lubok Antu Jugah Muyang.

Pada 18 November lepas, MPN Keadilan Sarawak yang dipengerusikan Baru telah mengumumkan pembatalan konvensyen PKR Sarawak. — DayakDaily