Tidak salah kerajaan negeri labur di luar Sarawak, kata Fadillah Yusof


Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 26: Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mengenai kerajaan negeri membangunkan sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur di sebalik masalah perkhidmatan kesihatan yang teruk di Sarawak, tidak masuk akal sama sekali.

Demikian tegas Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media hari ini.


Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, ini adalah kerana kerajaan negeri sentiasa meletakkan perkhidmatan kesihatan sebagai tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, ia sehingga kerajaan Pesekutuan bersetuju menyerahkan autonomi bagi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada Sarawak, mengapa pula Sarawak perlu mengambil alih peranan berkenaan?

“Jika Sarawak mahu mengambil alih, adalah lebih baik kita ā€œindependentā€ atau tidak berada dalam Malaysia.

“Jadi, Chong perlu bijak untuk membezakan antara peruntukan dan pelaburan.

“Peruntukan bermaksud dana yang diberikan untuk membina dan meningkatkan kemudahan tanpa pulangan, manakala pelaburan berdasarkan pulangan,” katanya.

Fadillah menambah, tindakan Chong menyamakan peruntukan dan pelaburan menunjukkan ketidakarifan atau kejahilan beliau mengenai pengurusan kewangan dan ekonomi.

Mengenai kenyataan Chong bahawa Sarawak tidak boleh terus menjadi negeri pembangkang bagi mengelakkan Bumi Kenyalang daripada terus ketinggalan dari segi pembangunan dan penyaluran manfaat kebajikan daripada Kerajaan Persekutuan, Fadillah juga ingin bertanya kepada Chong, jika itulah pendiriannya mengapa beliau tidak kata Pulau Pinang dan Selangor tidak boleh terus jadi negeri pembangkang ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dulu?

“Sekarang, ketika kerajaan Persekutuan memotong banyak peruntukan untuk Sarawak, apakah Chong sendiri ada berjuang untuk mendapatkan peruntukan lebih banyak untuk Sarawak?

“Apakah keutamaan beliau, apakah ā€˜sebagai anak Sarawakā€™ (Sarawak First) atau ā€˜sebagai Timbalan Menteri Persekutuanā€™ (Federal Minister first)?

“Sarawak kini menjadi mangsa dasar kerajaan Persekutuan; tidak salah untuk kerajaan Sarawak melabur dalam projek di luar Sarawak berdasarkan pendekatan pelaburan yang mengambil kira kadar pulangan dalaman (IRR) yang kukuh,” tegasnya.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, Sarawak perlu menguruskan dana negeri ini secara bertanggungjawab termasuk mengenalpasti pelaburan yang memberikan pulangan terbaik.

Katanya, tidak salah untuk melabur dalam projek seperti itu jika pengurusan kewangan komprehensif dan berhemah sudah dilaksanakan.

“Jadi, kenyataan Chong itu seolah-olah menunjukkan Sarawak tidak boleh melabur di luar negeri itu.

“Apakah beliau juga berpandangan sama mengenai kerajaan Malaysia termasuk agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah serta kumpulan berkaitan kerajaan (GLC) juga tidak harus membuat pelaburan di luar Malaysia?

“Sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat ketika ini, Chong seharusnya mempromosi projek pelaburan baru di Sarawak yang boleh diterokai bersama oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, bukan menyalak kepada pelaburan sedia ada,” katanya lagi.

Fadillah menambah, proses pelaburan yang dibuat oleh kerajaan Sarawak adalah secara telus dan tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan negeri.

“Chong seharusnya fokus kepada usaha untuk meringankan beban rakyat dengan memastikan harga barangan tidak terus naik, bukannya sengaja menangguk di air keruh untuk mencari bahan untuk sengaja memburuk-burukkan Sarawak,” katanya. ā€” DayakDaily