Tidak perlu hentikan sementara pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di pekan Serian, kata John Ilus

John (tiga dari kiri) memberikan sijil penyertaan kepada usahawan di bahagian Serian yang menyertai Program Jerayawara Keusahawanan Bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian.

SERIAN, Dis 5: Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di pekan Serian yang sedang berjalan lancar dijangka tidak perlu dihentikan sementara waktu bagi mengurangkan kesesakkan lalulintas di pekan itu menjelang perayaan Krismas hujung bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus menegaskan pihak berkuasa berkaitan hanya akan mempertimbangkan permohonan untuk hentikan projek tersebut secara sementara sekiranya ada keperluan mendesak sahaja bagi mengurangkan kesesakkan lalulintas di pekan itu yang bakal menjadi tumpuan orang ramai membeli belah menjelang perayaan Krismas nanti.

“Setakat ini kita tidak dimaklumkan adanya keperluan itu (diberhentikan sementara projek Lebuhraya Pan Borneo di pekan Serian menjelang perayaan Krismas); buat sementara waktu kita memantau tahap kesesakkan yang ada dan diharapkan semuanya akan baik sahaja.


“Tetapi kalau ada keperluan itu, kita akan mengesyorkan (pemberhentian projek sementara) kepada pihak berkenaan,” katanya selepas merasmikan penutupan Program Jerayawara Keusahawanan Bahagian Serian yang disertai 60 usahawan dari bahagian itu di Dewan Masyarakat Serian, di sini, hari ini.

John berkata pihaknya menyedari kesesakkan lalintas kerap berlaku di pekan Serian sejak projek terbabit bermula dan akan bertambah teruk apabila ketibaan musim perayaan tetapi kebiasaanya keadaan itu boleh dikawal dengan bantuan pihak polis trafik.

“Memang kami sedari kawasan Serian ini selalu sesak lalulintasnya ketika ini. Sehubungan itu kami meminta penduduk Serian terus bersabar dengan masalah tersebut dan juga kekurangan tempat letak kenderaan di pekan Serian akibat projek itu,” katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melalui jalan utama di pekan Serian.

Beliau juga memohon penduduk Serian berusaha mengelakkan melalui jalan yang selalu sesak di pekan terbabit dan mengunakan jalan-jalan lain dan mengakui setakat ini ramai memberikan kerjasama itu.

“Saya melihat orang Serian ini mereka amat bekerjasama dengan kerja pembinaan lebuhraya itu. Kita juga selalu menasihatkan mereka supaya bekerjasama dan bersabar sebab projek ini akan mengambil masa, tetapi apabila siap nanti akan memberi manfaat kepada orang Serian,” katanya.

Sementara itu mengenai perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo di pekan Serian, John mendedahkan pihaknya dimaklumkan yang setakat ini secara keseluruhannya projek tersebut sedang berjalan lancar dan mengikut jadual penyiapannya.

Menurutnya, projek itu sekiranya ada kelewatanpun hanyalah sedikit sahaja yang disebabkan kerja mengalihkan kemudahan utiliti seperti talian elektrik, telefon serta saluran paip air yang membabitkan proses kerja yang rumit. — DayakDaily