Artikel ini adalah terjemahan dari https://dayakdaily.com/were-not-against-amendment-bill-just-dont-rush-it-batang-sadong-mp/ yang disiarkan semalam.
Diterjemah oleh Chris Bishop
KUCHING, April 10: Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri mengulangi bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menentang pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya menurut Nancy, ia tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau dipaksa kerana Jawatankuasa Teknikal yang meneliti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) belum memuktamadkan saranan dan cadangan yang disyorkan.
“Biarkan saya membetulkan tanggapan salah bahawa GPS menolak pindaan itu. Ini tidak benar kerana kami hanya menerima RUU tersebut pada April 4.
“Jadi, kita memerlukan masa untuk berbincang dan membincangkannya, bukan di kedai kopi, tetapi kita memerlukan semua kepakaran untuk memberikan maklum balas yang diperlukan,” kata Nancy semasa membahaskan cadangan pindaan di Parlimen semalam.
Nancy, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga memberitahu Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, yang menyimpulkan bahawa kerajaan sebelum ini tidak melaksanakan secukupnya untuk Sarawak.
“Izinkan saya memberitahu anda bahawa kami telah melakukan banyak perkara. Sebenarnya, kita telah mencapai 13 perkara di bawah ‘Penurunan Kuasa’ di bawah jawatankuasa pemandu peringkat persekutuan dipengerusikan oleh saya bersama dengan Ahli Parlimen Kimanis (Datuk Seri Anifah Aman),” katanya.
Beliau mengulangi bahawa pindaan yang diperlukan mesti bersifat komprehensif supaya ia dapat membawa pembangunan yang dikehendaki untuk kedua-dua Sarawak dan Sabah seperti yang terkandung di bawah MA63.
“Ia perlu memasukkan aspirasi rakyat untuk mempercepatkan pembangunan di Sarawak. Pada masa yang sama, kami mahu memastikan kepentingan Sarawak dan rakyatnya dilindungi,” katanya.
Pandangannya disokong oleh Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi dan Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Karim. — DayakDaily