Tiba masanya Sarawak ada wakil dalam LHDN, kata Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman (file photo)

KUCHING, 15 Feb: Tiba masanya Sarawak mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar pendapatan sebenar negara diketahui, kata ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, ia memberi ruang bagi mengolah formula untuk pembahagian pendapatan tersebut berdasarkan semangat pembentukan Malaysia.

“Adakah ianya adil jika peruntukan Negara dibahagikan sama rata dengan mengiktiraf Sarawak hanya salah satu dari Negeri dalam Malaysia.


“Mantan Menteri Kewangan pada tahun 2019 dalam ucapan Belanjawan 2020 mengumumkan akan memberi Sarawak geran RM32 juta.

“Apakah formula yang digunakan beliau? Adakah pembahagian itu mengambil kira Sarawak sebagai satu dari tiga ‘partner’ atau satu dari 13 negeri?” ujar Fazzrudin.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah Fazzrudin, Perenggan 34 laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) mengatakan adalah mandatori Sarawak dan Sabah mempunyai wakil dalam LHDN.

Justeru, tanya beliau, adakah ia adil meletakkan Sarawak sama seperti Melaka dan Pulau Pinang.

“Sejajar dengan pindaan perlembagaan maka harus ada perbezaan kita letakkan terhadap Ketua Negeri Melaka dan Pulau Pinang dengan Ketua Menteri Sarawak.

“Amat bertepatan sekali kita mulakan dengan gelaran jawatan itu sendiri. Gelaran ini bukannya untuk individu tetapi untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya.

“Premier of Sarawak atau Menteri Perdana Sarawak amatlah sesuai sekali,” ujarnya.

Fazzrudin berkata, perjuangan kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah untuk memastikan hak Sarawak terpelihara.

Katanya ia adalah untuk memastikan keadilan yang bermaksud meletakkan sesuatu betul pada tempatnya.

“Tiga pihak iaitu Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu membentuk Malaysia dan adalah adil untuk menguatkuasakan semangat pembentukan tersebut,” kata Fazzrudin. — DayakDaily