Tiada parti dominan dalam GPS, tegas Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, Ogos 15: Usahlah menggambarkan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah sebuah parti yang dominan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mempengaruhi segala keputusan.

Demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda PBB, Fazzrudin Abdul Rahman dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, semua pihak termasuk PBB mempunyai hasrat dan pandangan tertentu untuk memperkasakan GPS.


“Namun, eloklah ia dilakukan dalam cara yang betul dan saya berpendapat kita haruslah menfokuskan kepada membuktikan kepada masyarakat tentang perjuangan GPS.

“Perjuangan GPS adalah berlandaskan kesejahteraan rakyat Sarawak dan seterusnya dapatkan dahulu sokongan dari rakyat dan bukannya mengambil langkah populis demi hanya untuk meraih sokongan dalam parti,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu memberitahu, tambahan pula, apa yang lebih penting adalah untuk melaksanakan penambahbaikan polisi atau pembaharuan yang dibawa GPS.

Katanya, pergerakan Pemuda harus memastikan rakyat menyokong GPS dan memberi kemenangan di setiap kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kelak.

“Ia bukannya memastikan pembahagian kerusi yang sama rata, semata-mata hanya untuk bertanding tetapi peluang untuk menang sangatlah tipis.

“Kalau kita tidak mendapat sokongan dari rakyat apa pun dicadangkan untuk GPS tidak akan dapat kita laksanakan,” ujarnya lagi.

Fazzrudin menambah, generasi muda mengharapkan GPS akan mampu membawa kelainan dan pembaharuan dalam lanskap politik negeri Sarawak dengan menekankan kepada kesejahteraan, perjuangan dan pembangunan yang significant dan dekat di hati rakyat.

Jelasnya, antara perjuangan ketara GPS adalah untuk memastikan hak negeri Sarawak dikembalikan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) terutama dalam industri minyak dan gas dalam konteks Perlembagaan Malaysia.

“Dengan pengembalian hak kita ini, maka kita mampu untuk memperluaskan lagi khidmat terus kita kepada masyarakat dan mensejahterakan kebajikan rakyat Sarawak.

“Antara objektif penubuhan GPS adalah ke arah perkara ini. Penubuhan atau pembentukan GPS telah pun dibincang bersama pimpinan tertinggi keempat-empat parti iaitu PBB, PRS (Parti Rakyat Sarawak), SUPP (Sarawak United Peoples’ Party) dan PDP (Progressive Democratic Party),” katanya.

Beliau menambah, perlembagaan, struktur dan pendekatan GPS telah dibincangkan dan dipersetujui bersama keempat-empat pimpinan parti tersebut dalam semangat kekeluargaan.

“Jadi apa pun perkembangan terbaru ataupun cadangan terbaru haruslah dibawa semula ke meja perbincangan.

“Komposisi korum perbincangan pimpinan tertinggi GPS adalah rata di kalangan parti-parti tanpa memberi kelebihan kepada PBB,” katanya lagi. — DayakDaily