‘Tiada masalah untuk PBB menang besar dalam PRU14’

Datuk Peter Minos

KUCHING, Feb 3: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diramalkan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menang besar pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Penganalisa Politik, Dato Peter Minos yang berkata demikian meramalkan PBB akan mampu menang kesemua kerusi Parlimen yang diperuntukan Barisan Nasional (BN) kepada parti itu pada pilihanraya terbabit.

“Apabila berlangsungnya PRU14, kemungkinan Mac atau April depan, PBB akan bersedia dan akan menang semua kerusi yang diperuntukkan kepadanya oleh BN. Saya tiada keraguan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Minos berkata ramalannya adalah berdasarkan kematangan tinggi yang ditunjukkan ahli PBB bagi mengelakkan parti itu menghadapi sebarang masalah dalaman terutama berkaitan kepimpinan menjelang pemilihan pada Konvensyen PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari Feb 8 hingga 11.

Menurutnya, yang terkini ditunjukkan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah setelah secara sukarela memberikan laluan kepada Dato Sri Fadillah Yusof mendapatkan jawatan Naib Presiden Kanan Sayap Bumiputera parti terbabit tanpa perlu ada pertandingan merebut jawatan terbabit.

“Ini adalah tindakan yang baik dan bijak Abdul Karim serta menunjukkan kematangan pemikirannya bagi menjaga perpaduan parti. Beliau juga menghormati Fadillah sebagai seorang yang ‘senior’ dalam susunan kepimpinan PBB dan menjadi Menteri Persekutuan,” katanya.

Keadaan sama berlaku dalam Pergerakan Wanita PBB dengan persefahaman ahli parti itu telah membolehkan Dato Sri Fatimah Abdullah dari sayap Bumiputera menjadi Ketua Wanita mengantikan Dato Sri Empiang Jabu dari sayap Pesaka yang secara sukarela melepaskan jawatan terbabit.

“Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dari sayap Pesaka kini adalah Ketua Pemuda PBB, meningkat dari Timbalan Ketua Pemuda PBB. Jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda PBb telah keduanya dimenangi tanpa ditandingi,” katanya.

Minos berkata kesemua ini telah berlaku kerana ahli PBB tidak mahu melihat sebarang masalah dan perpecahan dalam parti terbabit yang kini kedua terbesar dalam BN selepas UMNO. — DayakDaily