‘Kemenangan sebahagian besar jawatan tertinggi parti bukti kekukuhan kesatuan PBB’

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, Feb 3: Bekas Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menzahirkan sekalung tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menang tanpa bertanding jawatan Yang Di Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Yang Di Pertua PBB bagi sesi 2017-2020.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi baru PBB serta barisan kepimpinan baru Pergerakan Pemuda PBB dan Pergerakan Wanita PBB yang juga dimenangi tanpa bertanding.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh perwakilan dari kesemua 82 cawangan PBB yang telah memberi kepercayaan dan mandat kepada saya untuk menyandang jawatan Naib Yang Di Pertua Kanan PBB bagi sesi 2017-2020.


“Pencalonan sebulat suara yang membolehkan saya menang tanpa bertanding bagi jawatan itu adalah satu amanah besar yang perlu saya pikul dan saya amat bersyukur kerana terus diberi peluang untuk terus berkhidmat kepada parti tonggak Barisan Nasional (BN) Sarawak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Kerja Raya itu juga berikrar akan memikul amanah dan tanggungjawab itu sebaik mungkin dan memberikan khidmat terbaik kepada parti khususnya dan rakyat Sarawak pada umumnya.

Jelasnya, beliau juga berikrar akan berdiri teguh bersama-sama pucuk kepimpinan parti dalam memastikan kelangsungsan perjuangan PBB demi rakyat dan negeri ini.

“Kemenangan sebahagian besar jawatan tertinggi parti tanpa ditandingi pada pemilihan PBB kali ini membuktikan kekukuhan kesatuan dalam parti dan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Menteri Sarawak.

“Ia juga adalah kemenangan anggota parti yang mahu melihat PBB terus kukuh dan mantap di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” ujarnya lagi.

Tambahnya, bagi jawatan Naib Presiden (kuota Bumiputera) yang akan dipertandingkan, beliau yakin dan percaya ia akan berlangsung dalam semangat kekeluargaan atas semangat dan prinsip kesatuan dalam PBB. — DayakDaily