KUCHING, 10 Okt: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong usaha kerajaan menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menurut beliau, usaha tersebut tidak menghadapi sebarang masalah kerana terdapat banyak kemudahan di seluruh negara yang boleh digunakan.
“Secara peribadi saya rasa usaha ini sangat baik sebab kita ada banyak kemudahan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Muzium Budaya Borneo hari ini.
Jelas Abdul Karim, sebelum ini memang sudah wujud kemudahan PLKN yang mana sekarang terbengkalai.
Katanya, kerja-kerja menambahbaik kemudahan tersebut memerlukan kos yang tinggi.
“Dan kalau ia dapat digunakan semula untuk tujuan baik, melatih belia kita apa salahnya,” ujar Abdul Karim.
Terdahulu beliau telah merasmikan Program Integrasi Belia Sarawak, Sabah Dan Johor
Sementara itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan pada semalam berkata, PLKN yang dihidupkan semula akan menyaksikan belia menjalani latihan asas tentera selama 45 hari.
Katanya, ini adalah antara cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melihat semula program itu.
“Kali ini, kami bercadang untuk melakukannya di kem tentera di bawah fasa kedua kerana terdapat banyak kem Askar Wataniah (Wataniah) yang sesuai untuk program itu,” katanya menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dalam Dewan Rakyat.
PLKN diperkenalkan pada 2004 melibatkan pemilihan rawak belia berumur 18 tahun untuk program wajib tiga bulan.
Ia telah dihentikan pada 2015 dan diperkenalkan semula pada tahun berikutnya dengan penyertaan akan dijadikan pilihan menjelang 2019.
Walaubagaimanapun, ia telah dibatalkan pada Ogos 2018. — DayakDaily