Tiada keretakan dalam PKR, kata Sng

Larry Sng

KUCHING, Feb 24: Ahli Parlimen Julau Larry Sng menafikan ketika ini ada berlaku keretakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menjejaskan Pakatan Harapan (PH) Sarawak.

“PH Sarawak adalah berfungsi dengan baik dan tiada ada keretakan dalam PKR,” katanya dalam kenyataannya di laman Facebooknya hari ini.

Sng sehubungan itu meminta Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengenai hal ehwal PH.


“(Abdul) Karim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan terhadap hal ehwal PH,” katanya.

Beliau berkata ini kerana PH Sarawak berbeza dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang didominasikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan ini atas tanggungan komponen parti GPS yang lebih kecil, manakala hal ehwal pentadbiran PH adalah berasaskan persetujuan bersama dikalangan komponen partinya.

Sng berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Karim yang juga naib presiden PBB baru-baru ini terhadap keputusan PH Sarawak menerima penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya walaupun Bersatu telah menjadi komponon PH Sarawak, ianya tidak akan mengubah senario politiknya dan pakatan terbabit masih didominasikan Parti Tindakan Demokratik (DAP). — DayakDaily