Tiada keperluan wujudkan gagasan rasmi PN-GPS — Abdul Karim

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Pengwujudan gagasan besar atau perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang dilihat sebagai sesuatu yang tidak perlu dilakukan kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, apa yang ada pada ketika sudah mencukupi dan fokus Sarawak pada ketika ini adalah kepada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sebelum penggal berakhir pada 7 Jun 2021.

“Secara peribadi saya rasakan ia sesuatu yang tidak diperlukan memandang kita (GPS dan PN) membentuk kerajaan bersama-sama.

Advertisement

“Kita sudah ada persefahaman yang baik. Adakah perlu kita menandatangani satu perjanjian seperti ini?” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Penjaja Kampung Tambirat di sini hari ini.

Beliau berkata, pada ketika perjanjian pembentukan gagasan formal tersebut ditandatangani, ia memberi gambaran bahawa pihak terlibat tidak mempercayai satu sama lain.

Katanya, PN dan GPS perlu membiarkan hubungan yang terjalin pada ketika ini berkembang menjadi lebih baik dan kukuh pada masa hadapan.

“Lagi pun parti-parti di Sarawak (GPS) tidak berminat untuk meletakkan calon-calon kita di Semenanjung Malaysia dan mereka (PN) tidak perlu risau dengan kita (GPS).

“Jika ada perkara yang perlu dirisaukan adalah tindakan mereka (PN) yang mahu meletakkan calon dan bertanding di Sarawak yang mana warga di Sarawak tidak akan berasa gembira mengenainya,” katanya.

Abdul Karim berkata GPS akan sentiasa menjadi sebuah parti yang mesra PN kerana ingin melihat dan membentuk sebuah kerajaan persekutuan yang stabil.

Tambah beliau, kestabilan sesebuah kerajaan penting bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang dan meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.

Perkara itu, tegas beliau, menjadi asas kepada sokongan yang diberikan kepada kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bukan mengatakan kita cuba untuk mengambil kesempatan terhadap situasi itu sebaliknya kita mahu melihat sebuah kerajaan persekutuan yang stabil bagi membolehkan ekonomi terus berkembang dengan baik.

“Jadi cadangan untuk menandatangani perjanjian seperti ini bagi saya tidak perlu dan biarlah kita mempunyai kepercayaan terhadap satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, pada 11 Disember 2020 dalam satu kenyataan, Setiausaha Agong PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencadangkan PN untuk mewujudkan satu gagasan atau perjanjian rasmi dengan GPS untuk menghadapi PRU15.

Ia bagi membina kepercayaan dan keyakinan dan seluruh rakyat Malaysia terhadap kestabilan dan keupayaan gabungan terbabit untuk memerintah serta membangunkan negara. — DayakDaily

Advertisement