Tiada halangan untuk PPBM lebarkan sayap ke Sarawak

Alan Ling

MIRI, Julai 11: Tiada halangan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk membuka pintu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melebarkan sayapnya ke Sarawak.

Setiausaha PH Sarawak Alan Ling memberitahu, kemasukan PPBM ke Sarawak tidak menjadi masalah kerana parti tersebut merupakan salah sebuah parti tulang belakang PH peringkat pusat selain Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negaran (Amanah).

Katanya, kemasukan PPBM ke Sarawak diyakini menguatkan kedudukan PH dalam usaha mereka menawan Sarawak daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12 kelak.


“Adalah logik PPBM melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana ia merupakan proses normal bagi mana-mana parti politik untuk menjangkau rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

“PPBM wajar mengembangkan kepimpinan mereka ke Sarawak sama seperti DAP berkembang ke Sarawak 40 tahun lalu dan PKR pada awal tahun 2000,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu menambah, meskipun Amanah agak baharu bertapak di Sarawak, namun mereka telah mempunyai cabang dan ahli-ahlinya sendiri.

Setiausaha DAP Sarawak itu juga menjelaskan, rakyat di negeri ini perlu melihat kemasukan PPBM dari perspektif positif seiring dengan landskap politik semasa di negara ini.

“Rakyat di negeri ini perlu matang dengan trend politik masa kini sama ada di peringkat negeri atau pusat.

“Rakyat Sarawak harus ingat PPBM bukanlah klon Umno (United Malays National Organisation); ia ditubuhkan untuk ‘memerangi’ Umno sekali gus berjaya membentuk kerajaan persekutuan bersama rakan PH iaitu PKR, DAP dan Amanah pada Mei 9 lepas,” katanya lagi. — DayakDaily