KOTA SAMARAHAN, 26 Okt: Tiada calon langsung mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fadillah Yusof.
“Setakat ini tiada dalam pengetahuan saya berhubung calon langsung GPS.
“Ia harus melalui sistem kita terlebih dahulu, sistem ini bekerja secara konsensus di antara semua 4 komponen parti,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu beliau telah menyampaikan Peranti Siswa Universiti Malaysia Sarawak di DeTAR Putra Unimas di sini.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ketua Whip GPS berkata, Sarawak mahukan kerajaan yang stabil diwujudkan setelah berakhir PRU15 November ini.
Katanya, ramai meramalkan bahawa ekonomi dan senario pada tahun hadapan akan lebih mencabar.
“Oleh sebab itu selepas PRU15 kita perlu menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
“Kerajaan yang stabil dapat memberi tumpuan kepada pelaksanaan semua dasar serta bajet yang telah dibentangkan,” kata Fadillah. — DayakDaily