KUCHING, Ogos 22: Lembaga Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) ketika ini mempunyai keseluruhannya seramai 380 anak yatim yang dijaganya di empat kompleks kebajikan anak yatim lembaga itu di seluruh negeri ini dan tidak bercadang membina lagi kompleks terbabit.
Pengerusi Peryatim, Datu Misnu Taha berkata seramai 135 anak yatim sedang dijaga lembaga di Kompleks Kebajikan Laila Taib di bandar raya ini manakala selebihnya dijaga di tiga lagi kompleks kebajikan yang sama di Sibu, Bintulu dan Miri.
“Setakat ini tidak ada (cadangan membina kompleks kebajikan anak yatim baharu) kerana masih mencukupi bahkan kita masih ada tempat (untuk anak yatim di kompleks terbabit di) Bintulu, Miri dan Sibu. Setiap kompleks itu boleh dimuatkan dengan seramai 200 anak yatim, jadi kita masih ada banyak ruang lagi,” katanya selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Sempena Hari Raya Aidiladha di Kompleks Kebajikan Laila Taib di Samariang, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Keseluruhannya sebanyak sembilan ekor lembu yang didermakan orang ramai kepada anak yatim di kompleks terbabit telah dikorbankan di majlis terbabit bagi dagingnya disimpan bagi keperluan anak yatim dan sebahagianya diagihkan kepada waris anak yatim.
Misnu berkata empat kompleks kebajikan terbabit juga menerima dan menjaga anak yatim dari semua agama dan kaum dengan sekitar 10 peratus dari keseluruhan 380 anak yatim yang dijaga pertubuhan itu adalah bukan beragama Islam.
“Tetapi mereka (anak yatim bukan Islam) kena ikut cara Peryatim diuruskanlah. Setakat ini kita di sini pun ada juga dari agama lain dan bangsa lain, Bidayuh ada, Iban ada, Cina pun ada. Mereka tetap dengan agama mereka sehinggalah keluar (dari kompleks) bagi menyambung pelajaran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang berkemampuan untuk tampil membantu anak yatim dari segi melanjutkan pelajaran mereka dengan menyumbangkan derma kepada Tabung Pendidikan Peryatim. — DayakDaily