Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 23 Julai: The Hornbills (HDTC) menjuarai Piala Cabaran Tenis Dudong 2024 yang berlangsung dari 19–21 Julai lepas.
Pada perlawanan akhir yang diadakan di Kompleks Tenis Bukit Lima di Sibu, The Hornbills yang diwakili beberapa pemain dari Pontianak mengalahkan Pasukan Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) dengan kiraan 2-1.
Beregu pertama The Hornbills iaitu gandingan Hermansyah-Fitri Yudha mengalahkan Joel Wilton-Mohd Abdul Qayyum dengan kiraan 6-3, 6-1.
Manakala beregu kedua Deddy-Helly mengalahkan Amin Tamel-Suhairi Zawawi 6-3, 7-5.
Dengan kemenangan dua perlawanan pertama, beregu ketiga The Hornbill memberikan kemenangan percuma kepada PTBS.
Sebagai juara, The Hornbills menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan serta pingat manakala PTBS menerima hadiah wang tunai RM3,000 serta pingat.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Uplands Tennis Club A setelah mengalahkan Kuching Divisional Tennis Association (KDLTA) pada perlawanan penentuan ketiga dan keempat.
Uplands Tennis Club menerima hadiah wang tunai RM2,000 serta pingat, manakala KDLTA menerima hadiah wang tunai RM1,000 serta piala.
Selain itu, empat pasukan yang layak ke suku akhir menerima RM250 setiap satu.
Hadir di Majlis Penyampaian Hadiah ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep.
Sebanyak 13 pasukan dari seluruh Sarawak dan Sabah berentap selama tiga hari bagi merebut gelaran juara edisi sulung Piala Cabaran Tenis Dudong.
Terdahulu pada malam Sabtu (20 Julai) turut diadakan “Welcoming Dinner” Piala Cabaran Tenis Dudong 2024 di sebuah hotel terkemuka di Sibu.
Majlis dihadiri Henry, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew, Presiden SDLTA Robert Lau dan Kaunselor Paul Teo Ming Pau. — DayakDaily