Oleh Dean Adam
KUCHING, Mei 1: Akibat terpedaya dengan tipu helah bomoh palsu, seorang suri rumah kerugian RM100,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata kejadian yang menimpa mangsa berusia 68 tahun itu dilaporkan berlaku semalam.
Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah didatangi seorang wanita yang bertanyakan sama ada mangsa mengenali tabib cina di Kenyalang Park.
“Mangsa kemudian memberitahu dia tidak mengenali tabib tersebut sebelum mangsa tiba-tiba didatangi oleh seorang lagi wanita. Selepas itu kedua-dua wanita berkenaan membawa mangsa berjumpa dengan seorang lagi wanita,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa Kamal memberitahu, suspek ketiga kemudian mengatakan ahli keluarga mangsa akan ditimpa bencana.
Jelasnya, suspek berkenaan kemudian memberitahu dia akan membantu mangsa untuk melakukan upacara sembahyang membuang sial.
“Suspek seterusnya mengarahkan mangsa balik ke rumah untuk mengambil wang tunai dan barangan kemas di rumahnya. Suspek turut mengarahkan mangsa mengeluarkan wang simpanan di dalam akaun untuk diserahkan kepada mereka,” katanya.
Jelasnya, pada hari sama, mangsa telah menyerahkan wang tunai dan barangan kemas yang keseluruhannya berjumlah RM100,000.
Selepas itu ujarnya, suspek telah menyerahkan kembali bungkusan hitam dan meminta mangsa menyimpan bungkusan plastik itu di dalam begnya.
“Suspek mengarahkan mangsa membuka bungkusan plastik selepas 52 hari. Mangsa kemudian menyedari telah ditipu setelah membuka bungkusan plastik dan mendapati hanya terdapat empat botol air mineral dan pasir yang dibalut dalam suratkhabar lama,” katanya. — DayakDaily