Terperdaya dengan iklan pinjaman di FB, wanita rugi RM6,300

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay
Advertisement

Oleh Dean Adam

MARUDI, Mac 21: Akibat terpedaya dengan satu iklan pinjaman peribadi yang diiklankan di dalam Facebook (FB), seorang kerani wanita lesap wang sebanyak RM6,300.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 21 tahun itu pada mulanya dikatakan telah melayari FB pada Mac 7 lepas sebelum ternampak iklan pinjaman tersebut.

Advertisement

Katanya, mangsa kemudian meninggalkan nombor telefonnya di dalam ruangan komen FB itu.

“Pada hari yang sama, mangsa telah menerima satu jadual bayaran pinjaman dari seorang lelaki melalui WhatsApp (016-6844821).

“Mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000 sebelum dia diminta memberikan butiran peribadi kepada lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, suspek turut meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM6,300 terlebih dahulu sebagai bayaran pendahuluan, cukai dan kelulusan pinjaman.

Katanya, mangsa kemudian membuat lima pemindahan wang berjumlah RM6,300 pada Mac 19 lepas.

“Mangsa akhirnya berasa curiga ditipu kerana suspek masih meminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM5,000.

“Malah, wang pinjaman yang dipohon mangsa juga tidak diterima. Dia kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement