Terpedaya dengan kenalan FB, lelaki lesap RM94,250

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 20: Gara-gara terpedaya dengan kenalan wanita dari Facebook (FB), seorang pembantu ‘warehouse’ lesap wang sebanyak RM94,250 selepas ditipu sindiket ‘parcel scam’.

Laporan polis berhubung kes itu telah dibuat oleh mangsa berusia 40 tahun, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt. Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, pada penghujung November 2018 mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai Vivian Chen Lugard melalui FB.

Jelasnya, wanita tu mengatakan dia adalah warga Amerika Syarikat dan sedang belajar di Curtin University Miri.

“Sejak itu, mangsa dan Vivian telah berhubung melalui FB dan akhirnya mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Sejak perkenalan itu, Vivian seringkali meminta wang dari mangsa atas alasan untuk urusan sekolah dan keluarganya. Mangsa telah memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM94,250 melalui 4 kali transaksi ke 4 akaun bank yang berbeza,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, wanita berkenaan berjanji bahawa bapanya akan membayar balik semua wang yang dipinjamkannya daripada mangsa.

Katanya, kemudian seorang lelaki kononnya bapa Vivian bernama Davis Lugard telah berhubung dengan mangsa melalui WhatsApp.

“Lelaki itu kemudia mengatakan dia telah mengirim barang kepada mangsa. Barangan yang dikirim itu dari Ave Don Manuel 4004, Zulia, Venezuela dan dikatakan telah sampai di Malaysia.

“Selepas itu, mangsa telah terima panggilan telefon dari seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Miss Celine Chong dan mengatakan dirinya dari pihak ejen Swift Star Global dan memberitahu barang kiriman untuk mangsa telah sampai,” katanya.

Mustafa menambah, wanita berkenaan kemudian meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM40,800 ke dalam satu akaun Public Bank sebagai bayaran urusan pengeluaran barang kiriman tersebut.

Katanya, mangsa yang merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena seterusnya memberitahu perkara itu kepada rakannya.

“Rakannya kemudian memaklumkan mangsa telah ditipu sebelum mangsa tampil membuat laporan polis.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM94,250,” katanya. — DayakDaily