Pemandu nyaris maut, Isuzu D-Max rempuh belakang lori

Kelihatan sebuah Isuzu D-Max merempuh belakang lori tangki minyak sawit.

Oleh Dean Adam

SIBU, Feb 20: Seorang pemandu nyaris maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori tangki minyak sawit di Jalan Empawah-Bukit Lan, Tanjung Manis di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu mengakibatkan mangsa cedera selepas tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.12 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, psukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max merempuh belakang sebuah lori tangki minyak sawit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kenderaan masih tersepit sebelum dikeluarkan boleh pihak bomba,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan bomba seterusnya membuat flushing di kawasan kemalangan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat untuk pengguna jalan raya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10 pagi,” ujarnya. — DayakDaily