Lawatan ke Kuching bukti komitmen Zuraida untuk membantu Sarawak

Zuraida ditemubual ketika tiba di LTAK.

KUCHING, Jun 20: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berjanji tidak akan mengabaikan rakyat Sarawak.

Komitmennya itu dibuktikan apabila beliau menjadi menteri persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang pertama membuat lawatan kerja di negeri ini, untuk mengadakan pertemuan dengan agensi-agensi berkaitan dengan kementeriannya.

“Ini adalah tugas saya dan saya akan membantu rakyat Sarawak sekalian,” katanya yang ditemubual sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 7.30 malam tadi.


Ahli Parlimen Ampang itu turut menzahirkan rasa gembiranya kerana dibenarkan memasuki Sarawak, setelah disenarai hitam memasuki negeri ini pada 23 September 2017.

“Kali terakhir saya dibenarkan memasuki Sarawak pada Januari 2017 untuk menghadiri pengebumian allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (bekas Ketua Menteri).

“Tetapi sekarang saya dibenarkan masuk semula dan ini kerana saya sebagai menteri. Kalau hanya sebagai Ahli Parlimen, mungkin saya masih dihalang,” katanya.

Zuraida akan mengadakan lawatan kerja sehari di Kuching esok, di mana jadual awal beliau adalah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Selepas itu, beliau qkan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.

Seterusnya, Zuraida mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan kemudian ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Tengah 2, Matang.

Beliau juga akan melawat ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. — DayakDaily