Tentera patahkan cubaan seludup bawang ke negara jiran

Rampasan dan tangkapan yang dilakukan pada hari tersebut.

KUCHING, 18 Mac: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan aktiviti pengeludupan bawang import dari India di Sektor Op Awas/Keris Parang, semalam.

Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kem Muara Tuang dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku di sebuah ladang sawit di Bau sekitar jam 11.15 pagi.

Katanya, semasa kejadian anggota dari Divisyen Pertama Infantri Malaysia melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Indonesia.


“Sepasukan TDM sedang melakukan penugasan rondaan di Ladang Sawit Empaling, Bau, Sarawak iaitu jarak lebih kurang 400 meter dari sempadan Indonesia.

“Mereka telah menahan sebuah lori tempatan dalam keadaan tertutup dan mencurigakan cuba memasuki negara Indonesia menggunakan jalan tidak sah.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan yang berusia 47 tahun telah membawa muatan sebanyak 340 bungkus bawang (import India) untuk diseludup Ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, suspek dan sebuah lori serta semua rampasan (bawang) dianggarkan berjumlah RM158,960 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tentera Darat akan terus komited memperketatkan kawalan di sempadan negara.

“Ini bagi memastikan kedaulatan negara akan terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” tegasnya. — DayakDaily