LIMBANG: Seorang anggota Tentera Laut terbunuh akibat kecederaan parah selepas digilis lori muatan sawit di Kilometer 18 Jalan Medamit, di sini sekitar tengah hari semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata mangsa Azman Ayob berusia 31 tahun semasa kejadian menunggang sebuah motosikal.
Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu tercampak ke bawah lori tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam proses memotong dengan masuk ke arah bertentangan.
“Mangsa bagaimanapun dikatakan hilang kawalan dan terjatuh atas jalan sebelum masuk di bawah tayar lori sawit tersebut.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.