Tender projek Klinik Kesihatan Kampung Semop dibuka Ogos ini, kata Menteri Kesihatan

Medicine and healthcare. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 28 JULAI: Tender bagi projek pembinaan Klinik Kesihatan Kampung Semop akan dibuka semula pada bulan Ogos 2020.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan telah pun meluluskan projek tersebut di dalam Rancangan Malaysia Ke-10(RMK10) yang lepas.

“Projek telah ditender buat pertama kali pada Februari 2017. Walau bagaimanapun, lantikan kontraktor tidak dibuat kerana harga yang ditawarkan petender adalah terlalu tinggi. Keputusan untuk tender semula dikeluarkan pada Julai 2018.


“Seterusnya projek telah ditender semula pada Oktober 2019, namun lantikan kontraktor tidak dibuat disebabkan tiada persetujuan daripada pihak petender untuk mengekalkan harga tawaran sepanjang tempoh sah tender.

“Sehubungan itu, pada Januari 2020 Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak telah memutuskan supaya projek ditender semula,” katanya menjawab soalan MP Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Adham lagi, projek dijangka tender semula buat kali ke-3 pada Ogos 2020.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan(KKM) akan mengemukakan permohonan pembinaan Klinik Kesihatan Sepupok yang baharu dalam RMK12 sebagai menjawab pertanyaan MP Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

Katanya, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Sepupok baharu ini juga akan dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk berdekatan seperti di Batu Niah.

Berhubung klinik kesihatan Bekenu pula, beliau berkata klinik tersebut masih mampu menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk-penduduk sekitarnya.

“Klinik Kesihatan Bekenu pula merupakan sebuah klinik kesihatan yang telah menjalani beberapa penambahbaikan.

“Terbaharu, perkhidmatan makmal perubatan telah disediakan di klinik tersebut untuk menambah mutu perkhidmatannya,” ujar Adham.—DayakDaily