KUCHING, 7 Feb: Tiga lagi Tempat Transit Gelandangan (TTG) yang berfungsi seperti TTG Sibu akan diwujudkan dengan peruntukan RM5 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia akan diwujudkan di Kuching, Bintulu dan Miri.
“Bagi bangunan TTG Bintulu, agensi pelaksana adalah Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) dan turut menempatkan Pusat Sokongan Sosial Komuniti yang dijangka siap pada Mei 2025.
“Bangunan TTG Miri pula dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri dan dijangka siap pada November 2023.
“Untuk TTG Kuching, kita bakal menyewa bangunan dan Dewan Bandaraya Kuching Utara akan membuat pengubahsuaian. Premis TTG Kuching dijangka siap pada November 2023,” kata Fatimah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Gelandangan Sarawak (JPGS) di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Tambah Fatimah, berdasarkan statistik dan mapping gelandangan di Sarawak pada tahun 2022, seramai 89 orang gelandangan tetap berjaya dikenalpasti dan diprofilkan.
Daripada jumlah tersebut katanya, 71 peratus adalah lelaki dan 29 peratus perempuan.
“Mengikut Pentadbiran Bahagian di Sarawak, seramai 42 orang adalah di Kuching, 25 di Sibu, 7 di Bintulu, 8 di Miri, 3 di Sarikei dan 3 di Samarahan.
“Secara perbandingan, statistik gelandangan bagi tahun 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 51 peratus berbanding dengan tahun 2021 seramai 174 orang,” ujar Fatimah. — DayakDaily