Telefilem “Raja Sungei” mengetengahkan bakat, gaya hidup tempatan Sarawak

Zainal Abidin (duduk dua dari kiri) bersama barisan pelakon "Raja Sungei" dan wakil agensi yang terlibat menghasilkan telefilem itu pada sidang media di RTM Kuching, Jalan P.Ramlee hari ini (Sept 12, 2019).

KUCHING, Sept 12: Khas sempena Hari Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan telefilm “Raja Sungei” yang mengunakan dialek Sarawak di TV 1 pada Sept 14, jam 9 malam dan Sept 16, jam 10 pagi.

Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Zainal Abidin Asri Abdul Wahid berharap orang ramai di negeri ini tidak melepaskan peluang menonton telefilem itu yang mengetengahkan kandungan tempatan, bakat tempatan, gaya hidup tempatan dan juga Sarawak.

“Telefilm ‘Raja Sungei’ juga membawa pesanan mengenai perpaduan dan adalah telefilem yang ketiga dihasilkan RTM Sarawak setakat ini,” katanya pada sidang media selepas pra tonton telefilem tersebut di RTM Kuching, Jalan P Ramlee, di sini, hari ini.

Zainal Abidin Asri berkata setelah melihat telefilem pertama dialek Sarawak berjudul “Mi Kolok” dihasilkan RTM Sarawak, pihak pengurusan tertinggi RTM di Kuala Lumpur mendapati ada bakat tempatan boleh diketengahkan melalui penghasilan telefilm sedemikian.

“Mereka kemudian memberikan kepercayaan dan juga peruntukan bagi kami membuat dua lagi telefilm termasuk ‘Raja Sungei’ yang menelan kos sekitar RM170,000,” katanya.

Sementara itu, pengarah telefilm ‘Raja Sungei’, Azwandy Suhaimi mendedahkan pengambaran telefilm itu banyak dilakukan di Kampung Tambirat di Asajaya, Telok Melano, Telok Serabang, Kampung Tanjong dan juga Tebingan Kuching.

Barisan pelakonnya ialah Anding Indrawani, Melati Mellisa, Zielan Madinil, Wahab Daszz Hairaf, Kahar Jini, Nur Afifah Ismail, Lela Hassan, Mohamad Halil Hambri dan Iswandi Bolhassan.

“Raja Sungei” mengisahkan Adam yang pulang ke kampung halamannya selepas 20 tahun mengikut keluarga berhijrah ke bandar bagi menyelesaikan masalah tanah pusaka peninggalan ayahnya.

Kampung itu suatu ketika dahulu merupakan juara pertandingan lumba perahu dan merangkul gelaran Raja Sungei, namun segalanya berubah setelah berlaku kemalangan mengakibatkan kematian beberapa pendayungnya.

Kejadian itu juga menyebabkan penduduk kampung berpecah belah dan Adam telah berusaha mengembalikan semangat perpaduan penduduk kampung dan juga berusaha mengembalikan takhta “Raja Sungei” ke kampung halamannya. — DayakDaily