Tekong warga tempatan ditangkap cuba seludup 3 PATI di Bau

Kesemua suspek dan PATI dibawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya.

BAU, 18 Feb: Dua lagi warga tempatan yang dipercayai tekong darat ditangkap dalam cubaannya menyeludup masuk tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui kawasan ladang kelapa sawit hari ini.

Divisyen Pertama Infantri Malaysia melalui Sel Perhubungan Raya dalam siaran medianya berkata anggotanya yang melaksanakan penugasan serkap ‘Op Benteng’ telah mengesan kehadiran dua buah motosikal sekitar jam 7.10 pagi.

Katanya, anggotanya kemudian bertindak menahan kedua-dua motosikal tersebut untuk pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 31 tahun disyaki bertindak sebagai tekong dan dua lelaki serta seorang wanita berusia sekitar 22 hingga 39 tahun merupakan warga Negara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Pemeriksaan juga tidak menemui barang-barang terlarang dan anggota operasi kemudian bertindak menahan suspek dan PATI untuk siasatan lanjut.

Suspek dan barang-barang rampasan dianggarkan bernilai RM7,620.76 kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau untuk tindakan selanjutnya.

“Tentera Darat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19,” katanya. — DayakDaily