Tekong darat bersama 3 Pati diberkas di Serian

Kelihatan kereta yang dinaiki dan tiga PATI yang ditangkap di Serian.

KUCHING, 6 April: Tekong darat bersama tiga warga Indonesia diberkas polis di KM90 Jalan Kuching-Sri Aman sekitar jam 4 pagi hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis, tekong darat yang merupakan lelaki tempatan berusia 32 tahun ditangkap ketika cuba lolos sekatan jalan raya.

“Kereta suspek ditahan untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat dua lagi lelaki dan seorang wanita yang ketiga-tiga didapati warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Aswandy, siasatan lanjut mendapati tekong darat itu berjumpa dengan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai ejen yang membawa masuk ketiga-tiga Pati terbabit di Batu 3 Kuching.

Katanya, ejen tersebut menawarkan RM250 untuk setiap Pati yang perlu dihantar ke Sibu.

Jelas Aswandy, ketiga-tiga Pati telah memasuki negara ini melalui jalan tidak sah di kawasan Biawak, Lundu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Selain itu, tambah Aswandy, suspek warga tempatan itu juga disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952.

Ia berikutan penemuan satu tiub berisi dadah jenis methamphetamine dan saringan air kencing juga didapati positif dadah. — DayakDaily