Tawaran perjanjian PH tidak sah dan tiada kuasa undang-undang — Abdullah

Abdullah Saidol. — DayakDaily.com file pic.
Advertisement

KUCHING, Mei 19: Tawaran Pakatan Harapan (PH) Sarawak menerusi satu dokumen perjanjian yang dikemukakan kepada kerajaan negeri baru-baru ini adalah tidak sah dan tiada kuasa undang-undang terkandung di dalam dokumen tersebut.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol berkata, dokumen perjanjian tawaran baru itu adalah tidak konsisten.

Tegasnya, perjanjian tersebut juga melanggar usul yang telah diluluskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum ini.

Advertisement

“Mana mungkin, kerajaan negeri mengiktiraf status Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen serta dua individu lain yang turut menandatangani dokumen perjanjian tawaran itu.

“Mereka bukannya mewakili kerajaan pusat. Sepatutnya mereka memikirkan tentang cara bagi menunaikan manifesto PH Sarawak selepas mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, pemimpin PH Sarawak seharusnya berusaha untuk memenuhi janji-janji yang digariskan dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu.

Katanya, peralihan mandat pemerintahan di peringkat kerajaan persekutuan telah berlaku, sehubungan itu PH perlu memastikan apa yang dijanjikan sebelum ini dipenuhi.

“PH Sarawak harus menyokong usaha kerajaan negeri khususnya dalam usaha menuntut royalti minyak serta hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement