Oleh Chris Bishop
KUCHING, Feb 19: Taska Qaseh Laila di Jalan Bampfylde, Kuching yang menyediakan jagaan dan asuhan berkualiti akan dibuka pada Mac ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, taska tersebut boleh menampung seramai 48 anak-anak pada satu-satu masa.
“Taska ini sangat penting. Pertama ia beri peluang pekerjaan kepada ibu tunggal untuk bekerja sebagai pengasuh atau tugas-tugas lain yang diperlukan.
“Kedua, taska ini menyediakan perkhidmatan sokongan yang sangat diperlukan oleh para ibubapa yang kedua-duanya bekerja.
“Jagaan anak-anak di tempat yang selamat dan asuhan yang berkualiti adalah penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerja ke taska tersebut hari ini.
Fatimah yang juga Penasihat Persatuan Ibu Tunggal menambah, perkhidmatan jagaan atau asuhan Taska Qaseh Laila melibatkan anak-anak berumur 4 tahun dan perkhidmatan transit kepada yang berada di sekolah rendah.
Katanya, bagi kanak kanak di sekolah rendah, mereka perlu sebuah pusat yang selamat untuk menunggu ibubapa yang masih bekerja.
“Di taska ini, mereka diberi pengawasan dan makanan serta kemudahan untuk menyiapkan kerja rumah,” ujar Fatimah lagi.
Taska Qaseh Laila dibina di kuarters lama milik kerajaan setelah pusat lama di Jalan Ong Tiang Swee diarahkan untuk berpindah.
Kerja baik pulih kuarters lama untuk dijadikan taska ini telah ditanggung oleh kerajaan negeri.
Selain di Jalan Bampfylde, Taska Qaseh Laila yang diuruskan oleh Persatuan Ibu Tunggal juga memiliki cawangan di Samariang. — DayakDaily