Taska Genius Perpaduan Negara mulakan operasi secara berperingkat

Datuk Halimah Mohamed Sadique

PUTRAJAYA, 3 Jan: Operasi Taska Genius Perpaduan Negara di seluruh negara bagi sesi 2021 akan dimulakan secara berperingkat mengikut kesesuaian arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, tarikh permulaan operasi tersebut serentak dengan tarikh pembukaan taska yang dikendalikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kemas di negeri dan daerah terlibat.

Bagi Taska Genius Perpaduan Negara di Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan, operasinya akan bermula hari ini pada 3 Januari, 2021.


“Manakala bagi Sarawak, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Pahang, Sabah serta di Daerah Jempol, Negeri Sembilan pula akan memulakan operasinya esok (4 Jan),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk negeri Selangor, Kuala Lumpur serta Daerah Seremban, Negeri Sembilan, operasi Taska Genius Perpaduan Negara di kawasan tersebut akan bermula pada minggu kedua pada 15 Januari, sementara operasi  di Labuan pula adalah pada 11 Januari ini.

Katanya, setiap guru yang mengajar di taskan terbabit hendaklah menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan untuk bertugas selaras dengan arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang diarahkan oleh KKM.

“Ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan juga diingatkan agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mengamalkan norma baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri masing-masing,” katanya.

Halimah berkata pembukaan semula taska terbabit akan dapat membantu ibu bapa  memerlukan penjagaan anak-anak semasa mereka berada di tempat kerja.

Pada masa sama tegas beliau, Kementerian Perpaduan Negara akan memastikan semua Taska Genius Perpaduan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 Pasca PKP bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan arahan semasa oleh MKN dan KKM ketika menjalankan operasinya. — DayakDaily