Oleh Chris Bishop
BATANG AI, 18 Julai: Mujah Engkabang tekad meneruskan pekerjaan sebagai nelayan di tasik buatan Batang Ai meskipun kesihatannya tidak mengizinkan.
Beliau yang berusia 63 tahun sudah dua tahun tidak terlibat di dalam aktiviti penanaman padi.
Kini Mujah bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan untuk menyara keluarganya di Nanga Ukom, Sungai Engkari.
“Semasa sihat dahulu saya akan keluar untuk menyala dan memasang pukat hampir setiap hari. Kini, kesihatan seperti tidak mengizinkan di mana saya menghadapi masalah untuk bergerak.
“Oleh sebab itu hasil tangkapan berkurangan untuk dibawa ke pekan Lubok Antu untuk dijual.
“Sekarang mungkin ada 2 hingga 3 kilogram untuk dijual berbanding lebih 5 kilogram dahulu, ” katanya ketika ditemui DayakDaily baru-baru ini.
Menurut Mujah, hasil jualan kini hanya cukup untuk membeli petrol bagi enjin kuasa 15 kuda (bot) dan barang keperluan dapur.
Antara ikan yang dijual oleh Mujah ialah tenggadak, baong, banta, belida dan patin yang kebanyakannya ditangkap di Sungai Engkari dan Batang Ai.
Tambah Mujah lagi, kehidupan sebagai nelayan semakin perit setelah harga kebanyakan barangan naik.
Katanya, beliau dan isteri Seria Melin ,62, akan mencari makanan atau sayuran hutan bagi menampung keperluan sendiri.
Sedih dengan kehilangan dua orang anak lelaki yang meninggal di usia muda, Mujah dan isteri kini tinggal bersama seorang anak perempuan.
Masa lapang digunakan dengan sebaiknya oleh Mujah untuk menjahit pukat atau jala.
“Kehidupan memang susah sekarang, tetapi ia tetap diteruskan, ” ujar Mujah. — DayakDaily