Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi minyak masak kemasan polibeg 1kg, kerajaan ada budi bicara — Nanta

Ismail Sabri (kanan) dan Nanta dalam satu sesi perbincangan di Parlimen.

KUCHING, 18 Julai: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih mempunyai budi bicara di dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, ini khususnya berhubung larangan penggunaan minyak masak peket dalam kemasan polibeg 1kg untuk digunakan secara komersial.

Menurut beliau, ini mengambil kira usaha pelbagai pihak termasuk penjaja kecil yang cuba kembali bangkit daripada kesan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.


“Bukan semudah ABC,” kata Nanta sebagai memetik ungkapan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub pada persidangan Dewan Rakyat.

Ismail Sabri berbahas sebagai menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pagi tadi.

“Bagaimanapun, adakah tegar untuk kerajaan mengambil pendekatan ‘kuku besi’ dengan bertindak mengikut saluran undang-undang terhadap penjaja kecil yang menggunakan minyak masak peket dalam operasi perniagaan harian mereka?

“Adakah penguatkuasa nak saman atau rampas minyak masak mereka. Nanti dituduh kita zalim pula terhadap mereka,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri juga turut menjelaskan rangkaian usaha kerajaan dalam menangani isu ketirisan barang bersubsidi, termasuk isu minyak masak peket yang sering menjadi polemik.

Berhubung perkara tersebut, Nanta berkata minyak polibeg 1kg berharga RM2.50 ini tidak sepatutnya dibeli oleh pengusaha perniagaan seperti sektor makanan atau pengeluar produk berasaskan minyak yang lain.

Sebaliknya, kata beliau, ia dikhaskan untuk golongan memerlukan khususnya B40.

Dalam pada itu, Nanta mengingatkan pelbagai pihak agar tidak disalah erti tolak ansur ini.

Katanya, ini adalah kerana KPDNHEP bersama seluruh jentera agensi penguat kuasa kini menggembleng tenaga dalam membasmi ketirisan barang bersubsidi secara habis-habisan.

Menurut beliau, usaha memerangi ketirisan ini akan diteruskan menerusi proses audit dan pemutihan yang giat dijalankan ketika ini.

“Mesej sama ditujukan kepada ‘pengkhianat’ yang mendalangi rangkaian kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang bersubsidi: “We are coming for you”.

“Hentikan sebelum terlambat.

“Jangan angkara gelap mata dengan keuntungan berlipat kali ganda, hak orang lain sebagai penerima subsidi yang sebenar dinafikan,” tegas Nanta. — DayakDaily