Tangunggjawab GPS dan PH laksana projek pembangunan untuk rakyat

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

SERIAN, Julai 24: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bertanggungjawab dalam memastikan projek yang dirancang serta yang giat dilaksanakan di negeri ini diteruskan.

Antara projek tersebut ialah Lebuh Raya Pan Borneo, Jambatan Batang Lupar serta projek lain yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah sama ada PH atau BN bagi melaksanakan projek-projek terbabit untuk manfaat rakyat di Sarawak.


Katanya, di peringkat kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula tetap terus meneruskan membawa pembangunan untuk rakyat di Bumi Kenyalang.

Jelasnya, negeri ini masih memerlukan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek infrastruktur khususnya melibatkan kawasan luar bandar.

“Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo perlu diteruskan sekali gus disiapkan mengikut perancangan sebelum ini. Segala janji dalam manifesto PRU14 hendaklah dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pembinaan jaringan jambatan serta jalan raya turut harus diteruskan selain liputan bekalan air dan elektrik diperluaskan,” katanya dalam Program Transformasi Belia di sini.

Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, semangat jati diri golongan belia perlu diperkukuhkan kerana golongan itu bakal mencorakkan kepimpinan negara pada masa depan.

Katanya, sikap patriotisme perlu dipupuk kepada golongan berkenaan kerana mereka merupakan aset penting negara dalam meneruskan pelbagai agenda pembangunan rakyat.

“Gelombang cabaran global menyebabkan golongan belia semakin terdedah dengan pelbagai cabaran yang boleh mempengaruhi hala tuju pembangunan negara.

“Populasi belia yang semakin bertambah sepatutnya memberi kekuatan baharu kepada masa depan negara yang lebih gemilang jika mereka produktif, berkualiti dan berpendidikan,” ujarnya lagi. — DayakDaily