Tanah susur, sebuah rumah di Kampung Pemukas terjejas

Keadaan di rumah yang terjejas akibat tanah susur.

LIMBANG, 4 Oktober: Susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, sebuah keluarga di Kampung Pemukas di sini cemas apabila tanah bukit di hadapan kediaman mereka susur hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi menyebabkan tanah susur sehingga terkena di bahagian hadapan rumah berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang.


Beliau berkata, tujuh anggota bomba menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah kenderaan Toyota Hilux dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang kemudian bergegas ke lokasi.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan tanah susur berlaku selepas strukturnya lemah berikutan hujan lebat.

“Pemantauan terus dijalankan oleh anggota bomba bagi mengesan pergerakan tanah yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penghuni,” katanya, di sini, hari ini.

Keadaan di rumah yang terjejas akibat tanah susur.

Jurucakap sama menambah, setakat ini penghuni rumah berkenaan tidak dipindahkan dan bomba sudah memaklumkan kejadian itu kepada agensi lain sebagai langkah berjaga-jaga.

“Penghuni rumah juga dinasihatkan bersedia untuk berpindah jika runtuhan menjadi kritikal bagi mengelak risiko kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya. — DayakDaily