MARUDI, Mei 22: Tindakan ganas seorang anak yang disyaki sering menampar dan menumbuk ibu kandungnya akhirnya mendapat pembalasan apabila pemuda itu diberkas polis di Kampung Balat Tengah di sini semalam.
Suspek yang berumur 22 tahun tersebut telah dicekup sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi pada pukul 10.30 pagi.
Jurucakap polis berkata, lelaki durjana berkenaan ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu suspek sendiri sebelum itu.
Kata jurucakap sama, berdasarkan laporan yang diterima, suspek bukan sahaja menampar dan menumbuk ibu kandungnya malah turut didakwa mengugut untuk memotong serta menyembelih tangan wanita berusia 55 tahun berkenaan.
“Kejadian terbaru bukannya kali pertama berlaku terhadap mangsa kerana suspek sering bertindak ganas ke atas ibunya sebelum ini.
“Semasa tangkapan dilakukan, polis telah merampas sebilah parang yang disyaki digunakan oleh suspek melakukan ugutan terhadap ibunya,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Ujarnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi. — DayakDaily