KUCHING, 14 Sept: Taman Rekreasi Kota Padawan di Batu 10 yang dibangunkan sejak enam bulan lepas dijangka dibuka kepada orang awam pada Oktober ini.
Menurut Konselor Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Shirley Pui, cadangan taman rekreasi tersebut adalah dikenali sebagai ‘Railway Park’.
Katanya, ia bagi mengimbau kembali laluan keretapi yang menghubungkan Limbungan Brooke hingga ke Batu 10 pada zaman pemerintahan Brooke.
“Pembangunan taman rekreasi ini telah pun siap pada Ogos lepas dan dijangka dibuka kepada orang awam dalam waktu terdekat, dijangka pada Oktober ini,” katanya ketika ditemui pada fasa terakhir pemeriksaan di tapak hari ini.
Tambah Pui, taman tersebut menyediakan pelbagai kemudahan rekreasi yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Selain itu, katanya, ia dibangunkan dengan amalan aborikultur untuk pemeliharaan fizikal pokok dari segi pengurusan risiko pokok dan estetik landskap.
“Pihak MPP menambah dan mengekalkan ruang hijau yang seimbang dengan pembangunan persekitaran
“Taman rekreasi ini menyediakan tarikan sejarah ikonik di Kota Padawan dan dilestarikan sebagai landskap kemudahan,’ ujar beliau. — DayakDaily