Taman Negara Gunung Lesong mampu tingkatkan ekonomi penduduk setempat

Peserta bengkel merakamkan kenangan bersama Crispin (duduk tujuh kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 8: Taman Negara Gunung Lesong di Sri Aman memiliki sejarah yang unik dan daya tarikan yang tersendiri.

Menurut Pegawai Pemelihara Hutan, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Noraini Binti Johari, ia merupakan habitat bagi hidupan liar yang endemik di Kepulauan Borneo seperti Orangutan dan Langur Merah.

Advertisement

“Walaupun Taman Negara Gunung Lesong ini hanya berkeluasan 595 hektar dan merupakan taman negara yang terkecil di Sarawak, namun ianya mempunyai keunikan sejarah dan daya tarikan yang tersendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Bengkel ‘Gunung Lesong National Park Multidisciplinary Assessment and Management Plan’ di Sri Aman, baru-baru ini.

Menurut Noraini, pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah melakukan kajian persekitaran di Taman Negara Gunung Lesong selama setahun.

Hasil data dan keputusan yang diperolehi dari pelbagai bidang kajian persekitaran itu dikongsikan bersama semasa bengkel tersebut dan telah mendapat maklumbalas positif dari peserta.

Dalam pada itu, Pemangku Timbalan Residen Sri Aman Crispin Francis percaya Taman Negara Gunung Lesong berpotensi untuk dibangunkan dan mampu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

Noraini (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Crispin di majlis penutupan bengkel tersebut.

Mewakili Residen Sri Aman, Crispin berkata ianya adalah salah satu produk tambahan yang mampu meningkatkan bilangan pengunjung samada dari dalam atau luar Sarawak untuk berkunjung ke Bahagian Sri Aman.

“Selain itu, kepelbagaian produk eko-perlancongan di Bahagian Sri Aman ini secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi setempat contohnya dari segi pengangkutan, penginapan dan makanan,” katanya.

Beliau berharap bengkel dapat menjadi platform diantara pihak JHS dan penduduk kampung untuk mewujudkan kerjasama terutamanya dalam memperkembangkan, mempromosi dan memasarkan Taman Negara Gunung Lesong serta membuka ruang untuk peluang pekerjaan.

Bengkel diadakan selama dua hari bermula dari April 29 hingga 30 melibatkan 55 orang peserta dari agensi agensi kerajaaan dan kementerian serta ketua masyarakat dan ketua kaum dari kawasan sekitar Gunung Lesong. — DayakDaily

Advertisement