Taman Agro Nipah bakal menyediakan kemudahan untuk usahawan industri gula apong tempatan

Ishak (duduk dua dari kanan) mengaul gula apong sebagai simbolik merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Gula Apong sebagai Signature Negeri Sarawak sambil diperhatikan Razaili (berdiri tiga dari kanan) dan Willie (berdiri empat dari kanan) di Medan Niaga Satok.

KUCHING, Jan 13: Taman Agro Nipah yang permulaannya seluas 10 ekar akan diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro tahun ini bagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada usahawan dalam industri gula apong tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, berkata kerajaan negeri sudah memperuntukan sebanyak RM2 juta tahun lepas bagi mewujudkan taman terbabit melalui jabatan dan kementerian berkaitan pertanian di negeri ini.

“Taman Agro Nipah ini akan diwujudkan di Kampung Tambak (di Pusa) dengan kawasan permulaannya yang kita sudah kenalpasti sekitar seluas 10 ekar. Ini bagaimanapun keluasan taman bagi peringkat pertamanya sahaja dan taman akan menjadi seperti tempat sehenti bagi kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu industri gula apong negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Promosi Gula Apong sebagai Signature Negeri Sarawak di Medan Niaga Satok, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Majlis pelancaran tersebut telah dirasmikan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Ishak Ismail dn juga dihadiri Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Pengarah Fama Sarawak, Shahid Abu Bakar.

Gula apong yang sudah siap dibungkuskan bagi dijual kepada orang ramai, yang dipamerkan di Majlis Pelancaran Promosi Gula Apong sebagai Signature Negeri Sarawak di Medan Niaga Satok.

Razaili berkata antara kemudahan yang bakal disediakan kerajaan negeri di taman itu ialah kilang memproses gula apong, pusat penyelelidikan dan pembangunan (R&D) dan pusat pengumpulan dan pembungkusan produk terbabit.

Selain itu, pihaknya juga merancang membawa teknologi baharu ke taman tersebut dalam memproses nira nipah menjadi gula apong secara mekanikal dan mengunakan gas atau elektrik bagi mengantikan kayu api sebagai bahan bakar.

“Ini kerana isu industri terbabit di negeri ini ialah (proses menghasilkan gula apong dari nira nipah) perlu mengunakan banyak kayu api sebagai bahan bakar, tetapi sekarang semakin sukar mendapatkan bekalan kayu api,” katanya.

Menurutnya, Kampung Tambak di DUN Beting Maro merupakan tempat paling sesuai diwujudkan taman tersebut kerana di negeri ini hanya kawasan DUN itu sahaja ada kawasan ladang dan hutan nipah yang keseluruhannya dianggarkan mencecah sekitar 100,000 ekar.

Ketika ini 30 peratus kawasan ladang dan hutan nipah terbabit boleh dimasuki penduduk kampung mengunakan kenderaan melalui jalan ladang bagi mendapatkan nira nipah manakala kawasan selebihnya hanya boleh dimasuki mereka mengunakan perahu.

Razaili Gapor

“Kami sehubungan itu akan memohon lebih banyak peruntukan dari kementerian berkaitan bagi menyediakan lebih banyak jalan ladang di sekitar Kampung Tambak supaya 100 peratus kawasan ladang dan hutan nipah terbabit boleh dimasuki penduduk kampung mengunakan kenderaan,” katanya.

Razaili berkata setakat ini hanya Sarawak sahaja mempunyai kawasan ladang nipah yang luas bagi menghasilkan gula apong manakala ladang terbabit di negeri lain hanya bagi menghasilkan air nira sahaja.

Sementara itu, Ishak berkata setakat ini pihaknya sudah mengenalpasti seramai 65 usahawan gula apong di Kampung Tambak dan sekitar DUN Beting Maro serta pihaknya memilih gula apong sebagai produk signature bagi negeri ini.

“Gula apong akan menjadi produk signature mewakili Sarawak dan kita akan mengumpulkan sekurangnya 14 produk signature di seluruh Malaysia bagi dilancarkan peringkat kebangsaan pada pertengahan 2019,” katanya.

Beliau berkata produk signature peringkat kebangsaan terbabit kemudian akan dipasarkan pihaknya secara meluas ke seluruh Asia, Timur Tengah dan juga pasaran Eropah melalui pintu masuknya dari negara Turki. — DayakDaily