KUCHING, 8 Mac: Usaha mengekang berlakunya gejala rasuah menjadi salah satu elemen penting dalam setiap organisasi di sektor kerajaan dan sektor swasta.
Menurut Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip, semakin tinggi budaya dan amalan berintegriti, semakin rendah kadar rasuah.
“Apabila rendahnya kadar rasuah, tahap kemajuan pembangunan semakin meningkat.
“Rasuah dalam sektor awam menyumbang kepada kepincangan sesebuah kerajaan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat dan menjadi halangan kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Integriti Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan Pra Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi 2021-2025 di sini, hari ini.
Tambah Talib, setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membangun negara melalui integriti dan tadbir urus yang baik.
Katanya, proses membudayakan integriti serta tadbir urus yang baik memerlukan usaha yang berterusan dan memakan masa yang panjang.
“Usaha menyebarluaskan nilai integriti di kalangan masyarakat akan terus diperkasa dan ianya telah menampakkan respon yang positif di kalangan masyarakat umum.
“Di mana masyarakat kini, jelas menunjukkan kepekaan mengenai isu integriti dan rasuah,” ujar beliau.
Talib menyeru seluruh masyarakat untuk mengamalkan budaya berintegriti, patuhi peraturan dan undang-undang, hindari rasuah dan jalankan tugas dengan penuh telus, efisien dan efektif.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Recoda Datu Ismawi Ismuni pada ucapan aluan berkata, Pelan Anti Rasuah Organisasi 2021-2025 dibangunkan hasil perbincangan secara mendalam dan teliti yang melibatkan ketua-ketua bahagian pengurusan serta pegawai dari pelbagai peringkat.
Ujar belia, buku berperanan sebagai polisi dalaman Recoda dan menjadi garis panduan dalam usaha melaksanakan rancangan dalam tempoh lima tahun untuk memastikan tiada kelemahan dan ketirisan dalam tadbir urus organisasi secara yang berterusan.
Selain itu, katanya, Pelan Antirasuah Organisasi juga bermatlamat untuk memastikan budaya berintegriti tinggi diterapkan di kalangan warga Recoda.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak Zaki Hassan. — DayakDaily