Tak sempat sambut tahun baharu, dua maut dalam kemalangan

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Oleh Dean Adam

BETONG, Jan 1: Perjalanan pulang empat sahabat untuk meraikan sambutan tahun baharu 2019 berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Batu 2, Jalan Lidung di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10.35 malam itu mengakibatkan seorang lelaki tempatan dan lelaki warga Indonesia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Hendry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 10.40 pagi.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati, kemalangan tersebut telah mengakibatkan dua mangsa tersepit manakala dua lagi cedera,” katanya di sini hari ini.

Hendry menambah, pasukan bomba kemudian terus membuat kerja-kerja penyelamatan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Betong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – DayakDaily