Brad Rantayy
MIRI, 23 Nov: Seorang remaja lelaki antara lapan yang ditahan pihak polis pada malam Ahad (21 Nov), kerana menyerang dan mengugut seorang pemuda menggunakan parang dan kayu di sebuah unit kediaman Qudruplex Permyjaya di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam itu, suspek bersama sembilan lagi lelaki telah datang ke kawasan unit kediaman pengadu berusia 26 tahun itu dengan membawa dua bilah parang dan kayu kerana berasa tidak puas hati terhadap pengadu yang dikatakan ada menyaksikan mereka mencuri sebuah bateri kereta milik jiran sebelah rumah.
Beberapa suspek dikatakan bertikam lidah dengan pengadu sebelum bertindak melibaskan parang ke arahnya, namun pengadu sempat mengelak.
Sebelum melarikan diri, suspek telah mengugut akan mencederakan pengadu sekiranya beliau membuat laporan kejadia kecurian tersebut.
Susulan kejadian, pengadu telah tampil membuat laporan polis.
Bertindak dari laporan tersebut sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ)IPD Miri telah menahan lapan suspek dalam Ops Cantas sekitar jam 10.30 malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek berusia antara 17, 20, 2q, 23, 26 dan 46 tahun untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.
Turut dirampas sebilah parang dan dua batang kayu dipercayai digunakan dalam kejadian. — DayakDaily