Covid-19: Penyemburan disinfeksi di tempat awam bermula

Anggota Bomba melakukan penyemburan disinfeksi.

KUCHING, 30 Mac: Operasi penyemburan disinfeksi (nyah kuman) terhadap tempat awam di Bandaraya Kuching dimulakan di Market Stutong dan Kubah Ria, hari ini.

Operasi dilakukan oleh pihak Bomba dengan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Pada operasi di Market Stutong, seramai 23 anggota Bomba yang diketuai Timbalan Pengarah Bomba (Sarawak), Zainal Madasim, melakukan operasi penyemburan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng, yang turut memantau operasi, berkata penyemburan bertujuan menghalang penularan wabak Covid-19.

“Hari ini kita melakukan kerja-kerja penyemburan disinfeksi untuk memastikan tempat tumpuan awam ini bersih dan bebas dari sebarang bakteria.

“Penyemburan ini akan terus dilakukan di semua market, iaitu di Petanak, Kenyalang dan tempat tumpuan awam yang lain di sekitar kawasan seliaan MBKS,” katanya.

Wee (tengah) bercakap kepada pemberita pada operasi penyemburan
disinfeksi di Market Stutong.

Tambah beliau, operasi bermula di Stutong dan lokasi seterusnya akan diumumkan esok.

Wee turut meminta agar orang ramai tidak panik kerana pihaknya melakukan penyemburan untuk memastikan keselamatan semua.

Zainal (kiri) pada sesi taklimat kepada anggota Bomba yang terlibat
dengan operasi disinfeksi di Market Stutong.

Zainal, ketika ditemui, berkata operasi selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar operasi dilakukan di semua tempat tumpuan awam.

Untuk operasi di Kuching katanya, semua kelengkapan dan bahan disinfeksi adalah mencukupi. — DayakDaily